Thursday, February 26, 2009

Kapal Sing makin melampau...

dipetik dari bahrian.com.my
Karpal (Singh is King) maki Pemuda


KUALA LUMPUR: Sikap biadap Karpal Singh yang mahu menyaman Sultan Perak, Sultan Azlan Shah berlarutan di Dewan Rakyat, semalam, apabila Pengerusi DAP itu berulang kali memaki Pemuda Umno sebagai 'celaka' sebelum menarik balik perkataan itu.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu yang menuduh pergerakan berkenaan mengugutnya dengan menghantar dua peluru, juga dengan angkuh memberi amaran kepada Pemuda Umno supaya tidak memperlekehkannya.

"Ada 100 laporan polis dan dua peluru saya terima... barang kali ini rekod dalam dunia. Saya mahu tahu di mana Pemuda Umno, celaka ini dapat dua peluru yang dihantar kepada saya.

"Siapa buat semua laporan polis... saya beri amaran kepada Pemuda Umno jangan main-main dengan saya. Saya Singh dan Singh is King," katanya dipercayai merujuk filem Bollywood Singh Is Kinng.

Sekurang-kurangnya tiga kali Karpal menyebut celaka yang ditujukan kepada Pemuda Umno ketika membahaskan titah ucapan Yang di-Pertuan Agong sebelum menarik balik perkataan itu selepas diarahkan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Ronald Kiandee.

Terdahulu, tindakan Karpal menggunakan perkataan celaka dan menuduh Pemuda Umno menghantar peluru kepadanya, menghangatkan Dewan apabila dibantah beberapa Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN), terutama yang mewakili Pemuda Umno.

Dr Mohd Puad Zarkashi (BN-Batu Pahat) meminta Karpal menarik balik perkataan itu, manakala Datuk Abd Rahman Dahlan (BN-Kota Belud) meminta pemimpin DAP itu mengemukakan bukti yang Pemuda Umno menghantar peluru berkenaan.

Kelakuan Karpal turut dibantah Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) hingga Kiandee terpaksa menenangkan keadaan.

"Saya tak nak dengar lagi `celaka', sepatutnya (perkataan itu) tidak dipakai," kata Kiandee, tetapi Pengerusi DAP itu menegaskan beliau ada hak untuk bercakap dan tidak mahu diganggu sesiapa dalam perbahasannya.

"Ini perkara benar, saya tak mahu sesiapa ganggu saya... saya ada hak untuk cakap... Pemuda Umno adalah celaka," kata Karpal sebelum sekali lagi diminta oleh Timbalan Speaker supaya menarik balik perkataan berkenaan.

"Minta tarik balik `celaka'... saya sudah minta jangan sebut, tapi masih lagi keluar perkataan itu... itu saja," kata Kiandee sebelum Karpal akur dan memberitahu beliau tiada masalah menarik balik perkataan berkenaan.

Karpal berkata, semua laporan polis yang dibuat terhadapnya berpunca daripada kenyataannya bahawa Sultan Perak boleh dibawa ke mahkamah berdasarkan peruntukan Perkara 181(2) Perlembagaan Persekutuan.

"Seratus laporan polis kerana saya katakan Sultan Perak boleh dibawa ke mahkamah. Tak payah laporan polis, baca Perlembagaan," katanya sambil menjelaskan kandungan Perkara 181(2) berkenaan.

Beliau juga mengulangi desakan supaya Ketua Hakim Negara, Tan Sri Zaki Tun Azmi segera meletak jawatan kerana didakwa terbabit rasuah. Beliau turut memainkan rakaman audio yang didakwa mengaitkan Zaki dengan perlakuan itu.

"Saya buat laporan pada 13 November 2008, tetapi sampai kini tiada siapa yang datang, sama ada polis atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk ambil keterangan saya," katanya.

Dalam perbahasannya itu, Karpal turut merujuk kenyataannya sebelum ini yang mengkritik Datuk Seri Anwar Ibrahim dan menjelaskan beliau tidak mempunyai perselisihan faham dengan Ketua Pembangkang itu yang dianggap masih Ketua Pakatan Rakyat.

0 komentar:

Post a Comment

Peloton

Tentang Suara Bangsa

Suara Bangsa tampil ke depan memperjuangkan Agama, Bangsa dan Tanahair tercinta. Tiada apa yang mampu menghalang kami dari mempertahankan Alif Ba dan Ta.

  © Blogger template Coozie by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP